Latarbelakang/Pengenalan

Kampung Pueh (Poe) terletak di Daerah Lundu iaitu di Bahagian Kuching (Bahagian Pertama Negeri Sarawak), Sarawak, Malaysia. Kampung yang terletak di kaki gunung ini hanya mengambil masa kira-kira kurang dari 2 jam perjalanan dari bandaraya Kuching jika menggunakan jalan darat. Struktur jalan yang berturap sehingga ke kawasan kampung menjadikan perjalanan lebih selesa. Pekan kecil Sematan merupakan pekan yang terhampir dengan kawasan Kampung Pueh dan jaraknya hanya kira-kira 9km. 

Pada masa kini Kampung Pueh dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, pengangkutan, elektrik, telekomunikasi dan sekolah kesan daripada pembangunan kawasan sekitarnya. Disamping perubahan yang agak drastik tersebut, ianya masih mengekalkan warisan keindahan semulajadi untuk tatapan generasi yang akan datang.

atas

Sejarah 

Lebih kurang 130 tahun dahulu pengembara dari Utara Kalimantan yang berketurunan Dayak Salako telah mengembara ke Selatan Sarawak untuk berhijrah. Penempatan yang pertama dipercayai terletak di tebingan Sungai Pueh. Bangunan yang pertama dibina ialah rumah panjang yang hanya mempunyai 9 buah bilik atau dikenali sebagai bantang sambilan yang kini hanya tinggal sejarah. 

Nama Kampung Pueh dikatakan diambil dari sejenis rumput yang dikenali sebagai rumput pueh. Disebabkan keistimewaan yang ada pada rumput tersebut dan hanya terdapat dikawasan tersebut maka ianya telah digunakan sebagai nama kampung iaitu Kampung Pueh. 

atas

Iklim 

atas

Penduduk 

Kaum 

Hampir keseluruhan penduduk Kampung Pueh adalah terdiri daripada kaum Bidayuh Salako yang bertutur dalam dialek Salako yang mempunyai kaitan rapat dengan kaum Dayak di Indonesia. Penempatan kaum Bidayuh Salako bukan sahaja terdapat di kampung Pueh malahan hampir di seluruh daerah Lundu. Namun demikian, penduduk Kampung Pueh pada masa sekarang adalah terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan kaum seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Kenyah, Cina, Melayu dan India.

Ekonomi

Pada asasnya kegiatan ekonomi penduduk Kampung Pueh adalah bertani seperti menanam padi, lada dan koko disamping menjalankan aktiviti perikanan. Pada masa sekarang kegiatan ekonomi tidak lagi tertumpu kepada sektor pertanian dan perikanan semata-mata tetapi turut melibatkan sektor kerajaan dan juga swasta disamping menjalankan perusahaan sendiri. 

Agama 

Kepercayaan kepada adat lama merupakan asas utama agama penduduk Kampung Pueh yang masih diamalkan oleh sesetengah penduduk kampung sehingga ke hari ini. Namun demikian amalan berdasarkan adat lama seperti ini sudah semakin berkurangan. 

Faktor sosial dan perkahwinan menyebabkan kemasukan agama Kristian, Islam dan Buddha di Kampung Pueh. Pada masa sekarang hampir keseluruhan penduduk Kampung Pueh adalah beragama kristian dan ini dapat dilihat dengan terbinanya beberapa buah Gereja disekitar kampung. 

atas

Tempat Menarik 

Rumah Panjang 

Merupakan tempat utama yang harus dilawati oleh pengunjung yang bertandang ke Kampung Pueh. Terdiri daripada 20 buah bilik serta dihuni lebih dari 20 buah keluarga. Rumah panjang ini sudah terbina hampir 100 tahun yang lalu. 

Bahagian rumah panjang Kampung Pueh adalah terdiri daripada pante (tempat jemuran), samihk (serambi), biik (bilik) dan dapur. Setiap bahagian dalam rumah ini mempunyai fungsi yang tersendiri. 

Kesemua bilik dalam rumah panjang ini dilengkapi dengan kelengkapan moden seperti peti sejuk, televisyen, kipas dan telefon. Sruktur binaan asal iaitu daripada kayu masih dikekalkan untuk memastikan nilai ketulenan Rumah Panjang yang terdahulu masih terpelihara. 

Pengunjung boleh membeli hasil kraftangan penduduk kampung yang dipamerkan pada bahagian samihk pada harga yang berpatutan. 

 

 

 

 

 

 

*Serambi atau "samihk" rumah panjang dan gambar dari sebelah belakang rumah panjang Kampung Pueh

Pantai 

Terletak lebih kurang 2 kilometer dari rumah panjang, Pantai Pueh memang tidak susah untuk dikunjungi kerana ianya dihubungkan dengan jalan yang elok sehingga ke kawasan pantai. 

Pantai yang memanjang diliputi dengan pasir halus bisa memukau setiap pengunjung yang datang dan semestinya pengujung boleh mengadakan pelbagai aktiviti pantai seperti mandi dan sukan pantai. Terdapat dua buah pulau yang dinamakan Pulau Talang-talang boleh dilihat dari kawasan pantai. Pulau yang menjadi pusat pemuliharaan penyu ini masih terpelihara keindahannya. 

Bagi yang kaki pancing pula jangan lepaskan peluang untuk memancing disekitar Pantai Pueh atau anda boleh menyewa perahu atau kapal daripada penduduk tempatan untuk membawa anda ke destinasi yang menjadi lubuk pancing. Apa yang pasti hasilnya tidak akan mengecewakan anda. 

 

 

*Pemandangan indah pantai Pueh. Kelihatan pulau Talang-talang dari tepi pantai.

 

 

 

Gunung Pueh

Salah satu kebanggaan Kampung Pueh ialah gunungnya yang menghijau dan masih terpelihara keasliannya. Ketinggian Gunung Pueh mencapai 1356 meter dan ianya memanjang sehingga melepasi sepadan Malaysia–Indonesia. 

Pengisytiharan kawasan hutan di sekitar  Gunung Pueh sebagai hutan simpan oleh Jabatan Perhutanan Sarawak memastikan alam flora dan fauna yang ada terus terpelihara daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Pelbagai aktiviti telah diadakan oleh pelbagai pihak untuk menghayati keindahan kawasan hutan ini seperti eksplorasi dan juga juggle trecking sejak kebelakangan ini. Jika anda inginkan cabaran yang sebenar, Gunung Pueh adalah tempatnya. 

 

 

 

 

 

 

*Gunung Pueh gah berdiri...

Kem Belia Pueh 

Kem Belia Pueh (KBP) telah dibina pada tahun 1991 oleh Jabatan Belia Negeri Sarawak dan juga terletak hampir dua kilometer dari Rumah Panjang Pueh. Kem ini mempunyai keluasan dan kelengkapan yang mampu menampung pelbagai aktiviti peringkat kumpulan sehingga persatuan dan daripada peringkat kampung sehingga peringkat antarabangsa. 

Salah satu aktiviti menarik yang dijalankan oleh Kem Belia Pueh pada setiap tahun ialah Pueh Outdoor Challenge iaitu pertandingan sukan lasak yang disertai oleh pelbagai pasukan dari seluruh Malaysia dan luar negara. Acara ini boleh disaksikan pada sekitar bulan Mei setiap tahun. 

 

 

*Pintu masuk utama Kem Belia Pueh dan keadaan sekitar di dalam kem yang menarik

 

 

 

atas

Perayaan Utama 

Gawai 

Diadakan pada 01 Jun setiap tahun dan ianya merupakan perayaan utama kaum Bidayuh Salako di Kampung Pueh dan juga kampung Bidayuh Salako yang lain dan ia juga dikenali sebagai Gawai Padi (Gawe Padi – Ngabayatn) untuk menunjukkan tanda kesyukuran selepas musim menuai padi dan bertujuan untuk berterima kasih pada Tuhan (Jubata Padi) mengikut kepercayaan adat lama kaum Salako.  

Upacara bermula pada malam 31 Mei untuk menyambut ketibaan tarikh 01 Jun dengan pelbagai aktiviti seperti menjamu selera secara beramai-ramai, aktiviti tarian tradisional disamping aktiviti hiburan sampingan yang lain. Pesta Gawai yang utama di Kampung Pueh biasanya diadakan di Rumah Panjang Pueh. 

Seperti juga kaum lain, Bidayuh Salako tidak ketinggalan menghidangkan kuih muih tradisi semasa sambutan Hari Gawai seperti tumpihk, bontokng dan poehk

Krismas 

Perayaan kedua selepasa Gawai adalah Krismas yang disambut oleh penganut agama Kristian Kampung Pueh. Kehangatan perayaan Krismas bermula sekitar 23 Disember dimana aktiviti Carolling diadakan. Pada 25 Disember iaitu pada hari perayaan Krismas aktiviti kunjung mengunjung sesama penduduk kampung pula diadakan. 

Tahun Baru Cina dan Hari Raya 

Perayaan tahun Baru Cina juga diadakan di Kampung Pueh oleh penduduk yang berketurunan Cina atau yang beragama Buddha dan Perayaan hari Hari Raya juga diadakan oleh penduduk Melayu yang beragama Islam. 

Tidak kira apapun sambutan perayaan yang diadakan suasana kunjung mengunjungi tetap meriah di kampung Pueh berkat perpaduan yang harmoni antara kaum yang wujud. 

atas

Kesenian 

Seperti juga kaum-kaum etnik yang lain, penduduk kampung Pueh juga kaya dengan aktiviti kesenian yang tersendiri.  Aktiviti kesenian biasanya diadakan pada musim perayaan seperti Gawai Padi atau semasa majlis keramaian untuk menyambut kehadiran para tetamu yang bertandang ke Rumah Panjang Pueh. 

Alat muzik tradisional yang biasa digunakan adalah terdiri daripada gong besar (agukng), gong kecil (chanang), gendang (tumahk atau ganakng). Alatan ini dimainkan mengikut kesesuain gerak tari tarian tradisional yang dipersembahkan. Antara tarian tradisional yang biasa dipersembahkan adalah seperti Tari Pianuk (tarian pelanduk), Tari Tarabakng (tarian terbang), Tari Tingkakohk, Tari Totokng, Uehk Jonggan dan Ngonchong

Kesenian membuat barangan kraftangan penduduk kampung juga turut diadakan seperti tikar, bangkat, dakuhk, teneng, konsehk dan lain-lain lagi. Barangan kraf yang unik ini boleh dibeli terus dari penduduk kampung dengan harga yang berpatutan sebagai kenang-kenangan atau hadiah kepada sahabat handai. 

atas

Homestay 

Homestay adalah salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menggalakkan pelancong mengunjungi kawasan yang dijangka mempunyai prospek untuk dijadikan kawasan pelancongan.  

Kampung Pueh tidak terkecuali dan telah terpilih oleh Kerajaan Negeri Sarawak sebagai salah satu lokasi homestay untuk kemudahan para pelancong luar negara serta pengunjung tempatan. Pemilihan Kampung Pueh sebagai kampung yang terlibat dalam projek homestay telah dirasmikan oleh Y.B. Dato Abang Johari Tun Abang Haji Openg iaitu Menteri Pelancongan Negeri Sarawak pada sekitar bulan April 2003.

Rumah Panjang Pueh juga telah diiktiraf antara rumah panjang yang terbaik di Sarawak apabila beberapa kali mendapat pencalonan sebagai rumah panjang terbaik di Sarawak sehingga mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan. 

Sehingga hari ini banyak aktiviti disediakan untuk peserta homestay yang berkunjung ke Kampung Pueh. Para peserta akan dijamu dengan makanan tradisional, aktiviti kesenian, demonstrasi kesenian, kraftangan serta pengujung akan dibawa mengunjungi tempat-tempat menarik yang ada di Kampung Pueh. 

atas

Pesta Narakng 

Narakng” merupakan pesta kunjung mengunjungi antara satu kawasan ke satu kawasan yang lain telah di amalkan sejak dulu lagi. Pada kebiasaannya narakng dilakukan semasa musim Gawai. Narakng dalam bahasa Salako bermaksud “menerangi” yang mana ia bertujuan untuk memohon berkat daripada Tuhan atau “Jubata” agar menerangi sesuatu kawasan yang dikunjungi atau yang dilalui. Amalan yang berasal daripada Kalimantan Utara, Indonesia ini sebenarnya sudah terhenti untuk beberapa tahun dan ianya mula diperkenalkan semula pada tahun 2005. 

Penduduk kampung Pueh masih lagi mengamalkan pesta ini yang mana sebelumnya dilakukan dari satu kampung ke kampung yang lain tetapi dilakukan dari satu bahagian kampung/bahagian [tumpuk] ke bahagian kampung yang lain. Upacara narakng disertai oleh penduduk kampung  dengan berjalan kaki secara beramai-ramai. Setiap tempat akan mengadakan acara sambutan secara tradisional untuk menyambut ketibaan rombongan narakng yang singgah ditempat mereka. Kebiasaanya mereka akan mengadakan tarian tradisional dan seterusnya menjamu  rombongan tersebut dengan makanan tradisional. Sebelum narakng bermula, upacara “nyangahatn” akan diadakan di tempat permulaan iaitu di Rumah Panjang Kampung Pueh dan seterusnya penduduk akan memulakan perjalanan yang mengambil masa sehingga sehari suntuk. Selesai habis semua tempat dikunjungi, acara akan berakhir di Rumah Panjang semula dan upacara tarian “Sinkap Dayu” akan dilakukan sebagai menyambut ketibaan rombongan.  

Narakng mempunyai banyak kebaikan selain daripada menjaga warisan ianya dapat menyatukan penduduk kampung dengan kerjasama yang diadakan maka tidak hairanlah jika pada tahun 2006 upacara narakng yang dianjurkan oleh penduduk Kampung Pueh telah mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Sarawak.

*Gambar sekitar pesta Narakng yang pernah diadakan

 

atas

   
 
Latarbelakang
Sejarah
Iklim
  Penduduk
  Tempat Menarik
  Perayaan Utama
  Kesenian
  Homestay
  Pesta Narakng
   
   
   
   
   
   
   
   
   
 
 
 
 
 

produce and design by DaluVision @ 2008 any inquiry please email webmaster